Kamus Idris Al-Marbawi: Arab-Melayu Juz al awwal
Kesungguhan yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Shaykh menyebabkan ayahandanya menyarankan kepada beliau agar kembali menyambung pengajian di Tanah Arab. Pada tahun 1924, Shaykh Idris kembali menjejakkan kaki ke Tanah Arab tetapi kali ini di Mesir. Di Mesir, ia menyambung pengajian di Universiti al Azhar dan berpeluang menimba ilmu kepada ulama-ulama hebat disana seperti Shaykh Muhammad Mustafa al-Maraghi yang merupakan Shaykhul Azhar pada ketika itu dan Shaykh Abu al-Fadl al-Gizawi. Ketika berada di Mesir, Shaykh Idris mendapati ramai pelajar Melayu lemah dalam Bahasa Arab. Bermula dari sinilah timbul idea untuk Shaykh menyusun sebuah kamus Arab-Melayu. Diriwayatkan Shaykh telah menyusun kamus tersebut bersama lima orang sahabatnya, antaranya ialah seperti Shaykh Junid Thala dan Shaykh Tahir Jalaluddin. Bagaimanapun, Shakyh akhirnya melakukan kerja menyusun kamus itu bersendirian apabila sahabat-sahabatnya tidak dapat turut serta sehingga akhir tugasan. Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal dengan nama 'Kamus al-Marbawi' itu berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan khususnya di kalangan pelajar Asia Tenggara. Menariknya, kamus tersebut menjadi pemangkin kemunculan berpuluh-puluh kamus yang menggunakan samada bahasa pengantar Arab-Indonesia ataupun Arab-Melayu. Kamus yang disusun oleh Shaykh itu mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak buat kali pertama oleh Matba'ah Mustafa al-Babiy al-Halaby Wa Awladihi di Mesir. Sehingga ke hari ini, ia masih lagi dicetak kerana wujud permintaan dari kalangan pembaca. Di Malaysia, kamus ini diterbitkan oleh Darul Nu’man dan Darulfikir. Walaupun memberi perhatian kepada penghasilan kamus sepenuh masa, Shaykh Idris tetap berjaya menyelesaikan pengajiannya dan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti berkenaan.
Tidak tersedia versi lain